BATAS-BATAS PERGAULAN


PENDAHULUAN
Allah s.w.t mencipta manusia lelaki dan perempuan. Ia juga mencipta Syariat untuk mereka. Dalam Syariat Islam ada sesetengah hukum atau peraturan berbeza di antara lelaki dan perempuan dan ada yang tidak berbeza. Dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing kadangkala berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi dalam masyarakat kini. Penulisan ini cuba melihat sejauhmana batas-batas pergaulan yang dilarang dan dibolehkan dalam Syariat Islam.

PENGERTIAN PERGAULAN
Pergaulan dalam bahasa Arab disebutkan ikhtilat berasal daripada kalimah “khalata yakhlutu khaltan” yang bererti bercampur.
             Maksud pergaulan (ikhtilat) dalam perbincangan ini ialah bergaul atau bercampur di antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat yakni berlaku interaksi dalam bentuk pandang-memandang atau perbuatan di antara seseorang dengan lain. Ertinya, ia berlaku antara tiga orang atau lebih. Ia berbeza dengan khalwat yang hanya terdiri dari dua orang sahaja.

HUKUM PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN
ALAM remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.
Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, ‘sesungguhnya aku takut kepada Allah.’”
Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’
Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram.
Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah.
Semuanya bermula dengan pergaulan bebas tanpa batas, berkawan tak salah yang salahnya bila melampaui batas. Kali ini penulis tampilkan batas-batas dalam pergaulan supaya menjadi bimbingan kepada khalayak remaja sekalian, iaitu:
1. Pandangan
2. Pertemuan
3. Percakapan
4. Berjabat tangan
5. Bersentuhan badan

Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.
Bagi kaum lelaki, Allah s.w.t memberi peringatan di dalam firman-Nya dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka…”
Bagi kaum perempuan juga Allah s.w.t memberi peringatan-Nya sebagaimana maksud Surah An-Nur ayat 31 “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak tengok) setengah dari pandangan mereka…” dari kedua-dua ayat itu kita dapat menafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja.
Pandangannya pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan saja kita percaya hawa nafsu akan menguasai dan syaitan mudah menggoda akhirnya mendorong mereka ke arah kancah maksiat.
Maksud pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi.
Dalam konteks hari ini lebih di kenali dengan istilah ‘khalwat’ mengikut kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat.
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Dari hadis di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.
Percakapan atau perbualan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh mendatangkan syak wasangka.
Dalam soal ini bukan bermakna antara lelaki dan perempuan tidak untuk bergaul dan bercakap-cakap, Islam tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah mempunyai tujuan yang tertentu atau urusan yang penting sahaja.
Larangan itu dibuat semata-mata untuk menghindari pandangan serong atau fitnah orang terutama sekali kaum perempuan.
Berjabat tangan bermaksud menghulurkan dan menyambut tangan orang lain tanda hubungan silaturahim antara mereka, perlakuan itu meliputi lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan atau sebaliknya.
Menurut Islam hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Siti Aisyah r.a ada berkata: “…demi Allah, tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan.” (Riwayat Imam Ahmad)
Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.
Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”
Dari hadis di atas dapatlah kita mentakrifkan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah dilarang keras Allah s.w.t.

BATAS-BATAS PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN YANG DIBOLEHKAN
Perbincangan di atas telah menjelaskan bahawa hukum asal pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah dilarang. Namun demikian, dalam keadaan atau situasi tertentu hukum tersebut  berubah menjadi harus. Keadaan dan situasi yang dimaksudkan ialah darurah, hajat (keperluan), maslahat Syar’ie dan kebiasaan adat setempat.
 1.      Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Darurat
Dalam syarah Sahih Muslim, al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tidak ada perbezaan hukum berkhalwat antara perempan dan lelaki ajnabi di dalam dan luar solat, kecuali dalam keadaan darurat. Sebagai contoh, situasi di mana seorang perempuan bersendirian dalam satu perjalanan yang mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang lelaki ajnabi bersama dengannya sekadar untuk membantu dan melindungi daripada bahaya.
             Penjelasan al-Nawawi menyakinkan bahwa pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat, atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan terbabit daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum ini adalah satu pengecualian dari hukumnya yang asal iaitu haram.
 2.      Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Keperluan
Pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi kerana hajat (keperluan) Syar’ie adalah dibolehkan. Antara keperluan-keperluan Syar’ie ialah:
             a.      Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk mengurus muamalah maliyah (urusan harta)
Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk tujuan-tujuan seperti jualbeli dan aktiviti transaksi lain dibolehkan kerana tabiat urusan jenis ini memerlukan berlaku interaksi di antara dua pihak sebelum berlaku akad. Pergaulan semasa  muamalah maliyah (urusan harta) dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas Syarak seperti pakaian menutup aurat, menundukkan pandangan dan percakapan biasa.
            b.      Pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa bekerja
Semasa melaksanakan kerja, pada kebiasaannya berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat-syarat kedua-dua pihak menjaga batas-batas Syarak seperti berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan, percakapan biasa yang tidak mengandungi unsur-unsur fitnah dan tidak berkhalwat. Khalifah `Umar al-Khattab pernah melantik al-Syafi, seorang perempuan sebagai pegawai penguatkuasa di pasar untuk memerhati supaya tidak berlaku penyelewengan. Tabiat penguatkuasa di pasar menuntut pegawai tebabit bergaul dengan peniaga dan pembeli di pasar, lelaki dan perempuan. Perlantikan perempuan bekerja sebgai penguatkuasa menunjukkan pergaulan semasa kerja dibolehkan. Kalau pergaulan ini tidak dibolehkan pasti khalifah `Umar tidak melantik perempuan bekerja sebagai penguatkuasa kerana tabiat kerja tersebut menuntut berlakunya pergaulan.
           c.      Pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa menjadi saksi
Perempuan boleh bergaul dengan lelaki semasa menjadi saksi dalam kes-kes yang ditentukan oleh Syarak bahawa perempuan dibolehkan menjadi saksi seperti perempuan harus menjadi saksi dalam kes-kes harta dan hak-haknya.
            d.      Pergaulan di antara lelaki dna perempuan dalam kenderaan awam
Pergaulan di antara dalam kenderaan dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada Syarak bahawa perempuan keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak Syar’ie seperti berfoya-foya. Ia mestilah bertujuan Syar’ie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya.
 Di samping syarat-syarat di atas, batas-batas Syarak dalam pergaulan lelaki dan perempuan perlulah dijaga. Pakaian mestilah menutup aurat, pandangan ditundukkan dan percakapan berlaku secara biasa dan normal.
  3.      Pergaulan Mengikut Kebiasaan Adat Dalam Majlis-majlis
Pergaulan di antara lelaki dan perempuan dalam majlis seperti kenduri kendara kerana semperna sesuatu dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas Syarak seperti pakaian menutup aurat, tidak tabarruj, menundukkan pandangan, bercakap dengan suara biasa dan normal. Sekiranya batas-batas Syarak tersebut tidak dipatuhi pergaulan di antara lelaki dan perempuan tidak dibolehkan. Walau bagaimanapun, pengasingan tempat antara lelaki dan perempuan semasa makan dan lainnya dalam majlis-majlis ini adalah lebih baik. Ini didasarkan kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah” (menutup pintu-pintu fitnah).
 4.      Pergaulan Di Antara Lelaki Perempuan Semasa Belajar
Dalam persoalan pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar, sebenarnya tidak ada hadis yang secara langsung menyentuh persoalan ini, apakah ia dilarang atau dibolehkan. Bagaimanapun, ada sesetengah ulama’ berpendapat lelaki dan perempuan tidak boleh bergaul semasa belajar.Mereka berhujah dengan hadis Sa’id al-Khudri yang meriwayatkan:
Maksudnya: “Perempuan berkata kepada Nabi s.a.w.: Golongan lelaki mengatasi kami ke atas kamu (orang lelaki sentiasa bersamamu setiap hari mendengar hal-hal agama). Tentukan bagi kami satu hari bersamamu (untuk mendengar dan belajar) lalu baginda menentukan satu hari untuk bertemu(mengajar) golongan perempuan, maka baginda menasihati dan mengajar mereka. Di antara nasihat baginda kepada mereka: “Sesiapa di antara kaum golongan perempuan yang menyerahkan tiga anaknya (untuk perang jihad dan anak itu mati syahid) pasti anak-anak itu menjadi penghalangnya dari apai neraka. Seorang perempuan berkata kalau dua orang? Baginda bersabda: “walau dua orang”.
 Bagi mereka hadis ini menunjukkan bahawa perempuan hendaklah diasingkan tempat belajar daripada lelaki. Sekiranya pergaulan  di antara lelaki dan perempuan dibolehkan, pasti perempuan pada masa itu tidak meminta Nabi s.a.w.menentukan hari khusus bagi mereka untuk mempelajari ilmu. Begitu juga kalau pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar dibolehkan, pasti Nabi s.a.w tidak mengkhususkan hari bagi perempuan.
             Bagaimanapun, setelah hadis ini diteliti, didapati ia tidak jelas menunjukkan lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan semasa belajar. Buktinya, ungkapan “ghalabana ‘alaika al-rijal” (lelaki mengatasi kami ke atasmu). Maksudnya, secara tab’ie kaum lelaki setiap hari bersama Rasulullah s.a.w atas tabiat dan fungsi mereka sebagai lelaki. Oleh itu, mereka dapat mendengar dan mempelajari perkara-perkara berkaitan agama sedangkan perempuan tidak mampu berbuat demikian atas sifat dan fungsi  mereka sebagai wanita. Oleh itu, perempuan meminta Rasulullah s.a.w menentukan hari khusus bagi mereka mempelajari agama. Ertinya, permohonan dibuat bukan kerana tegahan bergaul semasa belajar, tetapi atas dasar tabiat dan fungsi lelaki dan wanita yang berbeza. Ia menatijahkan peluang bagi wanita untuk bersama dengan Rasulullah s.a.w agak terbatas. Oleh itu, pengkhususan hari belajar bagi perempuan tidak menunjukkan pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar dilarang. Jadi, hadis ini bukan hujah bagi pengharaman pergaulan antara lelaki dan wanita semasa belajar. Larangan tersebut mungkin lebih sesuai didasarkan kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah” (menutup pintu-pintu yang boleh mendatangkan fitnah) kerana lelaki dan perempuan, terutama di peringkat awal remaja dan remaja banyak dipengaruhi oleh rangsangan seks. Dengan itu, pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar pada peringkat ini boleh mendorongkan kepada perkara-perkara keburukan lebih banyak daripada kebajikan. Oleh itu, pengasingan tempat belajar di antara lelaki dan perempuan adalah didasarkan kepada “Sadd al-Zari’ah” bukan hadis di atas.
             Selain dari penjelasan perenggan di atas, mereka yang mengatakan pergaulan lelaki dan wanita semasa belajar diharamkan berpendapat bahawa pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa ziarah-menziarahi adalah dibolehkan dengan beberapa syarat. Mungkin sukar difahami kenapa pergaulan semasa ziarah dibolehkan dan pergaulan semasa belajar diharamkan, sedang suasana belajar lebih jauh daripada fitnah berbanding dengan suasana ziarah. Mungkin yang membezakan hanyalah ziarah dilakukan sekali sekala tetapi belajar mungkin lebih kerap, malah dalam konteks pendidikan formal, menengah atau tinggi ia berlaku setiap hari. Adapun, tegahan ke atasnya bukan dirujukkan kepada nas, tetapi kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah”



No comments :

Post a Comment